Ab Ghani (kiri) bersama Mohd Alwi (bersongkok) membuat lawatan serta pemeriksaan ke atas barangan jualan selepas melancarkan YES di Pasaraya Econjaya Kok Lanas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Ab Ghani (kiri) bersama Mohd Alwi (bersongkok) membuat lawatan serta pemeriksaan ke atas barangan jualan selepas melancarkan YES di Pasaraya Econjaya Kok Lanas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohamad Zulhairie Manzaidi


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan memberi jaminan 31 pasar raya yang menyertai kempen Jualan Akhir Tahun di negeri itu mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Pengarah KPDNKK negeri, Datuk Ab Ghani Harun berkata, pihaknya melakukan pemantauan terhadap kempen itu sehingga bulan depan bagi mengelakkan berlaku penipuan harga dalam kalangan peniaga.

“Di sini, saya memberi jaminan bahawa pasar raya yang mengadakan jualan akhir tahun di bawah kawalan KPDNKK tidak ada sebarang penipuan harga.

"Sekiranya ada, pengguna boleh melaporkan terus perkara itu kepada KPDNKK agar tindakan dapat diambil," katanya ketika sidang media selepas perasmian Jualan Akhir Tahun di Econjaya Kok Lanas, Ketereh hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad dan Penyelaras Pengguna Parlimen Ketereh Sabariah Hamzah.

Menurutnya, jualan akhir tahun diadakan bertujuan mengurangkan kos sara hidup pengguna dalam berbelanja dan meningkatkan kepercayaan pengguna untuk berbelanja.

"Sepanjang kempen jualan akhir tahun ini, kita juga mengarahkan pasar raya yang terbabit mengadakan jualan murah selama tiga hari.

"Seperti hari ini, harga ketika jualan akhir tahun sudah diberi diskaun, tetapi dengan adanya jualan murah, harga yang ditawarkan lebih rendah. Jadi orang ramai boleh rebut peluang ini," katanya

Sementara itu, Md Alwi berkata, kempen jualan akhir tahun ini adalah satu inisiatif kerajaan bagi meringankan beban rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 7:02 PM