Antara warga asing yang ditahan. FOTO ihsan Jabatan Imigresen Malaysia
Mohd Husni Mohd Noor


SERAMAI 28 pekerja asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di tiga pusat hiburan dan pusat refleksologi di Damansara Perdana, Petaling Jaya dan Cheras, semalam dan hari ini.

Dalam serbuan bermula malam semalam dan berakhir petang hari ini, seorang penyelia lelaki warga tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan kerana menggajikan pekerja asing tanpa permit sah.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, semua 28 pekerja asing wanita yang ditahan itu masing-masing 15 warga Thailand, sembilan Filipina dan empat Indonesia.

Beliau berkata, operasi diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Khalid A Rashid dengan kekuatan 19 pegawai Imigresen dari Unit Operasi Khas, Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa, Putrajaya.

"Tindakan diambil susulan daripada aduan diterima dan risikan dijalankan.

"Seramai 46 warga asing diperiksa di ketiga-tiga premis dan hasil pemeriksaan mendapati 29 disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati, pusat hiburan berkenaan dijadikan tempat tumpuan bagi pelayan pelanggan (GRO) warga asing menjalankan aktiviti tidak bermoral bagi mendapatkan bayaran dan tips.

Mustafar berkata, antara kesalahan dikenal pasti termasuk mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit sah dan Peraturan 39(b) kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas, permit atau pas sempadan.

"Bagi kesalahan majikan pula, boleh disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) iaitu mengambil pekerja seorang atau lebih orang selain daripada warga negara atau pemegang permit masuk yang tidak memiliki pas sah.

"Kesalahan juga boleh disiasat mengikut Seksyen 56 (1) (d) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) iaitu dengan sengaja memberi perlindungan kepada mana-mana orang yang diketahui melanggar peruntukan akta," katanya.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya turut mengeluarkan lapan borang ke atas pelanggan pusat hiburan dan pusat refleksologi bagi membantu siasatan lanjut.

Mustafar berkata, semua warga asing ditahan sementara di Depoh Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, beliau menegaskan kepada orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi PATI termasuk mengambil mereka bekerja sekiranya tidak mahu berdepan dengan tindakan undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 8:12 PM