Pengurus Besar Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima, Azlan Abdul Aziz (dua dari kanan) bersama sukarelawan membantu mengisi barang keperluan dalam kit bantuan banjir yang akan diedarkan kepada mangsa banjir dan pusat penempatan banjir di sekitar Pulau Pinang. FOTO ASYRAF HAMZAH
Nur Izzati Mohamad

 

[email protected]

BRIGED Sukarelawan Media Prima- NSTP dan Yayasan AEON Malaysia bekerjasama membungkus sejumlah 500 pek barangan untuk disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir di Pulau Pinang.

Usahasama melalui dana Tabung Bencana Media Prima-NSTP dan yayasan berkenaan, kira-kira RM100,000 dibelanjakan untuk menjayakan program bantuan mangsa banjir bagi fasa pertama itu.

Pengurus Kanan Komunikasi Korporat merangkap Setiausaha Yayasan AEON Malaysia Jacky Loo berkata, seramai 30 sukarelawan membabitkan Media Prima dan AEON akan bergerak ke beberapa lokasi di negeri ini untuk menyampaikan bantuan berkenaan esok.

Beliau berkata, bantuan akan disalurkan adalah pek barangan berisi makanan, bahan pencuci, set penjagaan kebersihan dan lampin pakai buang termasuk bantuan lain yang diperlukan mangsa banjir.

"Pada malam ini, kita bekerjasama membungkus 500 pek barangan sebelum memulakan proses penyaluran bantuan esok menggunakan dua van, satu atau dua lori yang disediakan pihak syarikat termasuk kenderaan disertai sukarelawan.

"Ini adalah projek kerjasama kedua terbesar antara kami dan Media Prima selepas sama-sama terbabit dalam misi banjir besar di Kelantan pada 2014," katanya ketika ditemui di AEON Mall Bukit Mertajam, hari ini.

Menurutnya, program bantuan antara dua agensi itu akan diketuai Pengurus Besar Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Azlan Abdul Aziz manakala beliau bertindak sebagai pembantu.

Jacky berkata, selama 13 tahun Yayasan AEON ditubuhkan, hampir RM9 juta peruntukan disalurkan agensi itu kepada pihak memerlukan.

"Untuk bantuan banjir, ini adalah fasa pertama dan bagi fasa kedua kita sedang menimbang beberapa bentuk bantuan lain antaranya membantu membaiki rumah mangsa banjir yang rosak dan membersihkan kawasan terjejas," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 11:36 PM