AZLAN dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu, semalam.
HM Digital

Kota Bharu: Padah memiliki heroin dan racun tanpa kebenaran pada Mei lalu, seorang buruh terpaksa hidup berjauhan daripada anak lelakinya berusia 27 hari selepas dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan 15 sebatan di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Hakim Ahmad Bazli
Badruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Azlan Yacob, 40, mengaku salah terhadap pertuduhan.

Mahkamah memerintahkan semua hukuman bermula dari tarikh tertuduh, ditangkap pada 10 Mei lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki 10 botol plastik berisi heroin seberat 10.59 gram di sebelah rumah tidak bernombor di Kampung Perupok, Bachok, jam 5.50 petang, 10 Mei 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan minimum 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki methamphetamine seberat 0.4 gram pada tarikh, waktu dan lokasi sama yang didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan dihukum di bawah seksyen 12(3) akta sama.

Pada tarikh, waktu dan lokasi sama, tertuduh turut didakwa memiliki 2,870 mililiter racun Mytragynine dan 145 mililiter racun Diphenhydramine.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 9:15 AM