Anggota polis trafik menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan pengguna jalan raya.
HM Digital

Kampar: “Anak buah degil,” demikian kata seorang pengurus katering ketika memarahi dua pekerjanya kerana gagal melunaskan saman trafik sehingga menjejaskan tugasan harian mereka.

Dua pekerja berusia 28 dan 41 tahun itu antara 72 individu yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan undang-undang dalam Ops Warta Bahagian Siasatan dan Penguat Kuasa Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sekitar daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Song berkata, operasi bermula jam 8.30 pagi sehingga 10.30 pagi itu membabitkan enam anggota dan seorang pegawai BSPT Kampar manakala seorang pegawai dan lima anggota dari JSPT IPK bagi mengesan pesalah lalu lintas dan memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan undang-undang.

Katanya, dalam sekatan jalan raya di Kilometer 19.8, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Gopeng dekat sini, pihaknya mengeluarkan 39 saman membabitkan pelbagai kesalahan seperti pandu laju dan tidak memakai tali pinggang keledar ketika memandu.

“Sebanyak 72 individu diperiksa membabitkan 62 kenderaan seperti kereta, motosikal, van, kenderaan pelbagai guna (MPV) serta kenderaan berat seperti lori dan bas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 9:31 AM