Pihak bomba menggunakan lori untuk membawa pelajar yang terkandas akibat banjir. Foto ihsan bomba
Mohamad Fahd Rahmat


TUJUH calon peperiksaan yang tinggal di Ladang Mutiara dekat Kahang, Kluang Johor nyaris terkandas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini apabila jalan keluar dari ladang berkenaan dinaiki air awal pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Akob Sidek berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kluang kira-kira 6.30 pagi sebelum tiba di ladang berkenaan 7.20 pagi.

€œBagaimanapun, kesemua tiga pelajar lelaki dan empat pelajar perempuan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kahang itu berjaya dibawa keluar menggunakan lori oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kluang kira-kira 8 pagi.

"Jalan tanah merah di ladang berkenaan dinaiki air paras pinggang berikutan hujan lebat malam tadi dan tidak boleh dilalui oleh kenderaan ringan.

"Kita berjaya membawa keluar dan menghantar kesemua pelajar berkenaan ke sekolah mereka untuk menduduki peperiksaan SPM pagi ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 10:45 AM