AZLAN Abd Aziz (dua dari kanan), Setiausaha Yayasan Aeon Malaysia, Jackie Loo Fong Sze (kanan) dan Ketua Biro Berita Harian Penang, M Hifzuddin Ikhsan (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir pada program Tabung Bencana Media Prima - NSTP dan Yayasan AEON di Masjid Wan Chik Ariffin, Jalan Perak, Kampung Dodol, Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong
Rudy Syareme Sheriffudin


SERAMAI 500 mangsa banjir di Pulau Pinang menerima sumbangan barangan keperluan daripada Tabung Bencana NSTP-Media Prima dan Yayasan Aeon Malaysia di seluruh negeri, hari ini.

Misi bantuan itu disertai Briged Sukarelawan Media Prima-NSTP bersama kakitangan Aeon diketuai Pengurus Besar Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima, Azlan Abdul Aziz.

Hadir sama, Pengurus Kanan Bahagian Penjenamaan dan Komunikasi Korporat Aeon Co (M) Berhad, Jackie Loo.

Azlan berkata, pihaknya mengagihkan bantuan dalam bentuk barangan dapur dan keperluan asas kepada 250 keluarga mangsa banjir di Masjid Wan Chik Ariffin, Jalan Perak, Georgetown.

Beliau berkata, turut menerima sumbangan beberapa penduduk sekitar Kampung Dodol dan Kampung Masjid.

Katanya, pihaknya turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah dan Tanah, Seberang Perai Tengah.

"Selain itu penyerahan bantuan turut diberikan kepada mangsa banjir di Dewan Banjir Guar Jering, Sungai Rambai, Bukit Mertajam dan Dewan Muhibbah Merbau Kudong, Jalan Sungai Dua," katanya.

Azlan berkata, pihaknya prihatin dan terharu apabila sumbangan dapat disalurkan kepada setiap keluarga bagi membantu meringankan beban apabila banyak peralatan rumah mengalami kerosakan.

"Kita berterima kasih kepada Yayasan Aeon kerana sudi berkerjasama dengan Media Prima - NSTP pada hari ini," katanya.

Sementara itu, Jackie berterima kasih kepada Media Prima - NSTP dan kolaborasi ini untuk menunjukkan rasa prihatin terhadap mangsa banjir.

"Kita ingin mengembalikan segala bantuan kepada masyarakat dan untuk bantuan pihak Yayasan Aeon menghulurkan sumbangan bernilai RM200,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 3:31 PM