Abdul Azeez (tiga dari kanan) membantu mengagihkan tilam-tilam untuk diserahkan kepada mangsa banjir seramai 122 orang membabitkan 60 keluarga. FOTO Rosli Ahmad dan Amir Irsyad Omar
Abdul Azeez (tiga dari kanan) membantu mengagihkan tilam-tilam untuk diserahkan kepada mangsa banjir seramai 122 orang membabitkan 60 keluarga. FOTO Rosli Ahmad dan Amir Irsyad Omar
Nur Izzati Mohamad


KELAB Putera 1Malaysia (KP1M) menggunakan sekurang-kurangnya 40 kontena untuk mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir di Pulau Pinang.

Presiden KP1M Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, kontena berisi barang kelengkapan antaranya tilam, bantal, susu bayi dan kit penjagaan kebersihan itu akan diagihkan secara berperingkat bermula hari ini.

"Tinjauan kita ke pusat pemindahan sebelum memulakan proses bantuan ini mendapati mangsa banjir memerlukan kelengkapan seperti tilam, bantal dan selimut.

"Oleh itu, kita menyediakan sejumlah 10,000 tilam dan 20,000 bantal termasuk selimut untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan," katanya ketika ditemui di Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah di Bukit Mertajam, hari ini.

Beliau berkata, pada peringkat awal, 20 kontena digunakan untuk menyalurkan bantuan berkenaan pada hari ini manakala selebihnya akan tiba esok.

Menurutnya, semua bantuan awal ini akan diserahkan ke lapan pusat pemindahan di Seberang Perai.

Pengagihan bantuan berkenaan diketuai Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid yang mendapat kerjasama daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Dalam pada itu, Abdul Azeez, berkata pihaknya akan menjalankan misi membantu mangsa banjir membersihkan kediaman mereka yang terjejas.

Seramai 500 sukarelawan KP1M terbabit dalam misi bantuan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 3:44 PM