FOTO Hiasan
Mohd Husni Mohd Noor


JABATAN Perikanan menyokong penuh tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membanteras gejala salah laku dan rasuah membabitkan zon perikanan pantai di negara ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Munir Mohd Nawi berkata, pihaknya memandang serius isu ketirisan sumber laut negara dan salah laku membabitkan anggota penguatkuasaannya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa komited dalam memastikan setiap nelayan tempatan mematuhi peraturan-peraturan ditetapkan selain memperkukuhkan aspek pemantauan menerusi Sistem Pemantauan Vesel (VMS); memperketatkan syarat lesen dan kerjasama serantau dalam soal membanteras penangkapan ikan secara haram.

"Melalui VMS, sebanyak 256 kes tangkapan bot asing direkodkan dengan nilai rampasan sebanyak RM180 juta sejak tahun lalu sehingga kini.

"Sepanjang tempoh itu, seramai 2,199 kru nelayan bot asing ditahan termasuk dari Indonesia, Vietnam dan Thailand," katanya pada sidang media, hari ini.

Katanya, sistem berkenaan berjaya mengesan 128 bot asing yang menceroboh perairan negara dan 50 peratus daripadanya adalah bot asing dari Vietnam.

Munir berkata, pihaknya juga berjaya mengesan lebih 433 kes bot tempatan ke luar perairan perikanan negara tanpa kebenaran dengan 259 kes di perairan Thailand; Vietnam (168 kes) dan masing-masing tiga kes ke China dan Indonesia.

Menurutnya, sebanyak 472 bot nelayan dibatalkan lesen selepas melanggar Akta Perikanan 1985 iaitu kesalahan melanggar syarat-syarat perlesenan dan ketirisan hasil tangkapan.

"Kami juga memperketatkan syarat lesen dan memberi lesen bot laut dalam hanya kepada bot nelayan yang mematuhi syarat perlesenan iaitu memenuhi syarat pendaratan ikan tahunan dan mengaktifkan alat Mobile Tracking Unit (MTU) melebihi 80 peratus setahun.

"Bagi memastikan bot laut mendaratkan ikan sepenuhnya di jeti pendaratan ikan di negara ini, kami memasang kamera litar tertutup (CCTV) di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali dan dua projek penggunaan pas keluar masuk vesel laut dalam di Pangkalan Pendaratan Ikan (SPVC2) di empat buah pelabuhan iaitu LKIM Tok Bali; LKIM Kuantan; LKIM Kuala Perlis dan Pelabuhan Bersepadu Tanjung Manis, Sarawak," katanya.

Katanya, projek pemantauan berkenaan mula dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Mei lalu.

Munir berkata, pihaknya mahu semua pengusaha perikanan dan nelayan supaya memikul tanggungjawab bersama untuk sentiasa mematuhi syarat-syarat lesen; peraturan-peraturan perikanan mengikut Akta Perikanan 1985 bagi memastikan sumber perikanan negara kekal mampan.

Dalam perkembangan sama, Munir berkata, sotong dan gamat adalah antara sumber perikanan yang diburu oleh nelayan Vietnam malah, perkara itu mendorong bot nelayan dari negara itu memasuki perairan negara.

Menurutnya, pihaknya difahamkan, sotong dan gamat mempunyai permintaan tinggi di pasaran makanan laut Vietnam menyebabkan harganya melambung tinggi di negara berkenaan.

"Keadaan itu memberi kesan kepada bekalan sotong di pasaran tempatan. Kehilangan bekalan sotong sangat ketara terutama di kawasan Laut China Selatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 8:57 PM