RAVI Chandran (tengah) bersama pegawai menunjukkan heroin yang dirampas daripada suami isteri. FOTO Effendy Rashid.
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


SUAMI isteri berusia 42 tahun dan 39 tahun ditahan polis selepas pemeriksaan dalam Toyota Camry dinaiki mereka menemui heroin seberat 1.8 kilogram (kg) bernilai RM45,400, kelmarin.

Pasangan itu ditahan jam 9.15 malam di depan rumah kedai di Bandar Seri Iskandar, Seri Iskandar oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Ketua JSJN Perak Asisten Komisioner V R Ravi Chandran berkata, suspek lelaki bekerja sebagai pencuci kereta manakala suspek wanita tidak bekerja.

Kedua-duanya dipercayai sudah setahun mengedar dadah di negeri ini.

“Kami kemudiannya menyerbu rumah suspek di Pusing, Batu Gajah dan merampas motosikal, empat telefon bimbit dan kad ATM. Ada sejumlah RM13,690 dalam akaun bank suspek.

“Ujian air kencing mendapati kedua-duanya negatif dadah. Mereka mempunyai seorang anak berusia dua bulan selain tiada rekod jenayah lampau.

“Kedua-duanya direman hingga Selasa ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya pada sidang media di IPK Perak di Ipoh, hari ini.

Pada masa sama, Ravi Chandran berkata, sejak Januari hingga Oktober lalu, JSJN Perak menahan 6,802 individu dan ia peningkatan 17 peratus berbanding tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, 118 individu sudah diambil tindakan mengikut Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 12:36 PM