LELAKI meninggal dunia selepas basikal ditunggang dirempuh Perodua Alza. (Gambar kecil) Abdullah Mamat. FOTO ihsan polis dan pembaca.
LELAKI meninggal dunia selepas basikal ditunggang dirempuh Perodua Alza. (Gambar kecil) Abdullah Mamat. FOTO ihsan polis dan pembaca.
Mohamad Zulhairie Manzaidi


LELAKI warga emas meninggal dunia apabila basikal ditunggangnya dirempuh Perodua Alza ketika melintas jalan di Kampung Bendang Kerian, Tumpat, jam 10.15 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Nik Azlan Nik Ibrahim berkata, Abdullah Mamat, 69, meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala.

“Perodua Alza itu dipandu lelaki berusia 52 tahun yang dalam perjalanan dari Chabang Empat menghala ke Tumpat.

“Pemandu kereta terbabit mendakwa tidak sempat mengelak apabila mangsa yang berada di kiri jalan tiba-tiba melintas.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat,” katanya.

Nik Azlan turut menafikan kejadian terbabit adalah kes langgar lari seperti tular di media sosial.

“Pemandu Perodua Alza tidak menghilangkan diri dan sudah tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 1:57 PM