Bungkusan berisi daun ketum seberat 700 kilogram berharga RM66,500.00 yang dirampas. Foto ihsan Rejimen Sempadan (RS)
Zuliaty Zulkifli


CUBAAN seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) menyeludup keluar 700 kilogram (kg) daun ketum ke negara jiran gagal apabila pacuan empat roda (4WD) dipandunya ditahan sepasukan anggota Rejimen Sempadan (RS), di Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Lelaki berusia 22 tahun itu ditahan bersama 4WD yang sarat dengan muatan daun ketum ketika menggunakan laluan kebun getah menuju sempadan Malaysia-Thailand pada 2.45 pagi.

Panglima 6 Briged, Briged Jeneral Abdul Aziz Ismail, berkata, sepasukan lima anggota kompeni Bravo daripada Batalion 2 RS diketuai Koperal Sabran Latim melakukan serangan hendap ke atas kenderaan terbabit di kawasan Pos Sahara, di sini, selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan anggota bertugas mendapati 4WD terbabit dipenuhi dengan plastik hitam yang kemudiannya disahkan mengandungi daun ketum, disyaki cuba diseludup ke negara jiran.

"Semua 700 kg daun ketum bernilai RM66,500 itu dirampas bersama 4WD jenis Toyota Land Cruiser yang dianggar bernilai RM55,000 sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Nerang untuk tindakan lanjut," katanya.

Abdul Aziz berkata rampasan itu adalah yang keenam dilakukan pihaknya sejak kali terakhir direkodkan pada 30 Oktober lalu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 2:48 PM