KETUA Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superitenden Suzaimi Mohamed menunjukkan dadah yang dirampas daripada suspek. FOTO Mohamed Sahidi Yusof
Mohamed Sahidi Yusof


LELAKI dipercayai pengedar dadah sanggup memecut kenderaan yang dipandu dalam keadaan berbahaya bagi mengelak ditahan polis dalam serbuan di kawasan Pengkalan Pak Ya Kampung Renab, Bukit Bunga, Tanah Merah, semalam.

Bagaimanapun cubaan untuk melarikan diri lelaki berusia 32 tahun itu gagal apabila kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero terbabas dalam parit kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian.

Berikutan itu, kenderaan dan pemandu terbabit berjaya ditahan, 6.20 petang.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintenden Suzaimi Mohamed berkata, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan menemui 19 botol mengandungi 87.4 gram heroin dan 600 biji pil kuda.

"Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM10,000 dan bekalan itu diperoleh dari negara jiran untuk pasaran di sekitar Tanah Merah.

"Suspek berasal dari Felda Kemahang dan mempunyai lima rekod lampau kini ditahan reman selama seminggu untuk siasatan lanjut," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IIPD) Tanah Merah, hari ini.

Suzaimi berkata, siasatan dijalankan mengikut seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, kawasan Pengkalan Pak Ya adalah sarang bagi kegiatan pengedaran dan penagihan dadah.

"Kita sentiasa memantau tempat itu dengan melakukan serbuan dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 3:15 PM