ANTARA yang ditahan dalam Op Gegar malam tadi di pusat urut sekitar Petaling Jaya dan Seri Kembangan. FOTO Ihsan Jabatan Imigresen Selangor


EMPAT pusat urut di Petaling Jaya dan Seri Kembangan diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor, malam tadi.

Pengarah Imigresen Selangor, Omran Omar berkata, dalam Op Gegar dari 11 malam sehingga 2 pagi tadi, 17 warga asing ditahan mengikut Akta Imigresen.

"Daripada jumlah itu 13 adalah wanita dan empat lelaki berusia antara 20 hingga 40 tahun.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada warga China, Thailand, Indonesia, Vietnam dan Myanmar," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, dua daripada premis pusat urut yang diperiksa malam tadi pernah diserbu tahun lalu dan awal tahun ini.

"Mereka yang ditahan itu tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan salah guna pas mengikut Akta Imigresen 1959/63.

"Mereka dibawa ke pejabat penguat kuasa Jabatan Imigresen Selangor di Shah Alam untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 5:19 PM