Model Toyota Harrier yang bakal dilancarkan tahun depan. FOTO Mohd Razlan Salleh
Mohd Razlan Salleh


MODEL Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) Toyota Harrier dijangka menjadi tumpuan ramai apabila dipertontonkan kali pertama sempena pembukaan Malaysia Autoshow 2017, hari ini.

Model SUV mewah itu dijual pada harga bermula RM238,000 bagi varian 2.0T Premium manakala RM259,000 bagi varian 2.0T Luxury.

Kedua-dua varian itu akan dilancarkan awal tahun depan dan serentak dengan itu, UMW Toyota Sdn Bhd (UMWT) turut membuka tempahan kepada orang ramai.

SUV Harrier antara model premium tempatan popular tetapi kebanyakannya dibawa masuk secara persendirian oleh pengimport bebas.

Bermula tahun depan, Harrier yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun akan diedarkan oleh UMWT dengan versi lebih terkini dan dipertingkatkan.

Kedua-dua varian ini menggunakan enjin petrol turbocaj 2.0 liter dengan D=4ST dan teknologi VVT-iW, pacuan dua roda sementara versi 2.0T Premium didatangkan dengan Pakej Toyota Safety Sense (TSS).

Harrier turut didatangkan bersama jaminan lima tahun selain khidmat sokongan selepas jualan di seluruh negara.

Terdahulu, sepanjang empat hari 2017 Malaysia Autoshow 2017 bermula hari ini, pelbagai aktiviti disediakan di ruang pameran UMWT dengan orang ramai berpeluang memenangi barangan eksklusif Toyota dan barangan lain.

Maklumat mengenai pakej pembiayaan dan tawaran istimewa seperti ‘Toyota RM1,000,000 Bonanza’ juga ditawarkan bagi mereka yang merancang untuk membeli model terbaru Toyota.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 5:23 PM