MOHD Azham (kanan) selepas majlis penjenamaan semula Justklik.my kepada Hellomall.my, semalam.
HM Digital

Kuala Lumpur: Tayar dan alat ganti kenderaan antara produk baru jualan Koperasi Pos Nasional Berhad (Koponas) menerusi perkhidmatan dalam talian, Hellomall.my.

Pengerusinya Mohd Azham Abd Jabar berkata, produk itu diperkenalkan sebagai usaha meningkatkan sumber pendapatan dan membantu ahli di seluruh negara mampu berdaya saing dalam perniagaan.

“Koponas mengekalkan kegiatan utama dengan memberi tumpuan kepada penjualan pelbagai jenis barangan pengguna, tetapi pengenalan jualan tayar dan alat ganti kenderaan dijadikan nilai tambah dalam perkhidmatan yang disediakan.

“Malah, ia dapat memberi peluang ahli membeli pelbagai jenis barangan secara mudah dan tidak membebankan,” katanya selepas majlis penjenamaan semula Justklik.my kepada Hellomall.my di sini, semalam.

Mohd Azham berkata, Hellomall.my diperkenalkan hasil idea membawa produk keluaran koperasi memasuki era e-dagang yang semakin berkembang di negara ini.

“Berbeza dengan portal beli-belah dalam talian yang lain, Hellomall.my patuh syariah dan produk dipasarkan diluluskan mengikut garis panduan syariah ditetapkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2017 @ 10:06 AM