Pihak berkuasa memeriksa salah seorang pemandu lori berikutan penemuan dadah. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Pihak berkuasa memeriksa salah seorang pemandu lori berikutan penemuan dadah. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


SEBANYAK 324 saman pelbagai kesalahan undang-undang dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu Lebuhraya Zon Utara/ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian yang diadakan di Kilometer 195.3, Hentian Rehat dan Rawat (RNR) Gunung Semanggol, Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan, dekat Bagan Serai, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, dalam operasi membabitkan 35 pegawai dan 76 anggota pelbagai agensi itu pihaknya turut menahan sembilan lelaki masing-masing lima pemandu lori dan empat kelindan berikutan mengambil bahan terlarang serta ujian air kencing yang dijalankan mereka positif dadah jenis Methamphetamine.

Katanya, tujuh lagi lelaki ditahan berikutan dua daripadanya memiliki dadah jenis syabu selain cecair dipercayai ketum.

"Dalam operasi yang bermula jam 10 malam dan berakhir pada jam 12.30 tengah malam itu, sebanyak 190 kenderaan iaitu 90 kereta, 70 lori dan 30 bas diperiksa dan dari jumlah itu sebanyak 324 pelbagai jenis kesalahan dikeluarkan agensi terbabit seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Operasi pada kali ini bukan sahaja tertumpu pada kenderaan perdagangan dan salah guna dadah, malah pihak kami mengesan kesalahan lampau yang dilakukan pemandu dan dari jumlah saman yang dikeluarkan sebanyak 215 saman lampau dikesan.

"Dari kesemua pemandu kenderaan yang ditahan, seorang pemandu bas yang diperiksa, dikesan memiliki 23 rekod saman lampau," katanya.

Turut serta dalam operasi itu, Pegawai Turus Lebuhraya Zon Utara Bukit Aman Asisten Superintendan Hazil Reza Ghazali.

Menurut Omar, seramai sembilan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) turut dikesan melakukan kesalahan tidak memiliki permit perjalanan selain menyalahgunakan pas lawatan.

"PATI yang ditahan masing-masing tiga warganegara Indonesia, tiga warganegara Myanmar,dua Vietnam dan seorang warganegara Mesir.

"Kesemua yang ditahan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2017 @ 4:39 PM
Digital NSTP Subscribe