Noorzainy (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian komponen motosikal yang dileraikan. (Gambar kecil) Suspek yang diburu. FOTO Ramdzan Masiam
Zulfa Mohamad


GENG Kembar yang turut dianggotai dua beradik dan menjalankan kegiatan mencuri motosikal tumpas selepas lapan suspek ditahan di sekitar Butterworth dan Balik Pulau pada 27 Oktober lalu.

Dalam serbuan itu semua mereka di tahan berasingan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Utara (IPDSPU).

Ketua Polis Daerah SPU Asisten Komisioner Norzainy Mohd Noor berkata, susulan tangkapan lapan suspek berusia antara 17 dan 24 tahun termasuk dua beradik dari Permatang Krai Kecil, pihaknya merampas empat motosikal curi, tiga rangka serta komponen yang sudah dileraikan.

Katanya, modus operandi mereka ialah mencuri motosikal pada awal pagi menggunakan kunci pendua.

"Siasatan mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan curi motosikal.

"Berikutan tangkapan suspek juga, polis berjaya menyelesaikan 13 kes curi motosikal dalam daerah SPU yang dilaporkan antara Julai hingga Oktober lalu," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Penjenayah dipercayai menjual komponen motosikal curi kepada rakan mereka dan motosikal yang menjadi sasaran ialah Honda EX5.

Norzainy berkata, pihaknya kini sedang memburu seorang lagi suspek yang juga anggota Geng Kembar berusia 19 tahun.

"Semua suspek mengaku mencuri, meleraikan dan ada yang membeli komponen motosikal curi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2017 @ 6:27 PM