TRAN Thi Mai dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuantan. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


WANITA warga Vietnam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini, atas tuduhan memberi suapan bernilai RM800,000 kepada dua Pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas sembilan bot miliknya akibat pelbagai kesalahan, 5 November lalu.

Tertuduh, Tran Thi Mai, 41, yang beralamat di Bukit Sekilau, Kuantan mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali dan mengaku tidak bersalah.

Dia didakwa menawarkan wang tunai berkenaan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyamar sebagai orang tengah untuk diserahkan kepada Kepten Nurul Hizam Zakaria dan Kepten Amran Daud sebagai suapan kepada kedua-dua kapten tersebut untuk melepaskan sembilan bot nelayan Vietnam yang ditahan di bawah Akta Perikanan 1985.

Dia melakukan kesalahan itu di the Dining Room Coffee House Hotel Zenith pada 9.40 pagi, 5 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(b) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyn 24 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua puluh tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamry manakala tertuduh diwakili peguam, G K Sritharan.

Mohamad Fadhly memohon mahkamah tidak membenarkan jaminan ke atas tertuduh yang bukan warganegara dan juga tidak berstatus penduduk tetap.

"Siasatan SPRM juga mendapati tertuduh adalah pemilik syarikat pengusaha bot nelayan dan dikhuatiri jika diberikan jaminan, tertuduh boleh melarikan diri bukan dengan menaiki kapal terbang, tetapi melalui perairan.

"Bagaimanapun, pihak kami berharap jika mahkamah mahu membenarkan jaminan, ia harus mengambil kira nilai rasuah iaitu RM800,000 dan pihak pendakwaan mohon supaya ditetapkan sebanyak RM1 juta dengan syarat pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah," katanya.

Peguam tertuduh kemudiannya merayu supaya jaminan dibenarkan kerana anak guamnya tidak akan melarikan diri memandangkan dia sudah memiliki harta di Malaysia kerana menyertai program Malaysia My Second Home yang mewajibkan pemilikan harta di negara ini.

Beliau menambah tertuduh juga tidak akan melarikan diri kerana mempunyai empat orang anak dan bersedia dengan apa sahaja syarat tambahan yang difikirkan sesuai oleh mahkamah kerana tertuduh mahu 'berdepan dengan perbicaraan penuh'.

"Saya juga difahamkan bahawa wang RM800,000 itu sebenarnya adalah untuk membeli sebuah bot, bukan sebagai wang rasuah. Apa yang berlaku pada masa ini adalah suatu spekulasi yang masih belum dibuktikan.

"Sebagai ejen, tertuduh memperoleh pendapatan bulanan antara RM4,000 hingga RM5,000. Saya difahamkan akaun tertuduh telah dibekukan dan tidak mampu untuk membayar sehingga RM1 juta. Tertuduh hanya mampu menjelaskan jaminan sebanyak RM30,000," katanya.

Dazuki membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia bersama syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri ke balai polis Kuantan setiap bulan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 11 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2017 @ 8:37 PM