MESIN terbaru MRI milik Pusat Penyelidikan MRI UM adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia.
Norhadiani Baharom


Kuala Lumpur: Penubuhan Pusat Penyelidikan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) boleh membantu usaha Universiti Malaya (UM) ke arah mencapai matlamat berada dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia pada masa depan.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr Mary Yap Kain Ching berkata, UM sememangnya sebuah pusat ilmuan yang sedari dulu sering melakukan pelbagai kajian baru terutama penyelidikan dan perubatan yang memberi manfaat kepada komuniti.

“Penubuhan Pusat Penyelidikan MRI oleh UM ini adalah satu usaha yang wajar dipuji. Malah, dengan pelbagai inisiatif seumpamanya yang sedang dijalankan atau bakal dilakukan, saya yakin usaha memperbaiki kedudukan UM sekarang di tangga ke-114 kepada 100 universiti terbaik dunia, bukanlah sesuatu yang mustahil,” katanya selepas merasmikan pusat penyelidikan itu di Fakulti Perubatan UM, di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UM Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud dan Dekan Fakulti Perubatan UM Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman.

Jelasnya, penubuhan pusat itu yang pertama seumpamanya di negara ini membolehkan penyelidik melakukan kajian secara maksimum dan komprehensif.

Beliau berkata, ini selaras dengan rangka tindak pendidikan tinggi dalam melahirkan pelajar berkualiti dan seimbang secara holistik dengan ciri-ciri keusahawanan.

“Sebagai hospital akademik, kemudahan ini amat penting untuk membolehkan kita berdiri setanding dengan negara luar dan apa yang dilakukan UM bukan saja baik untuk pengajian mahasiswa perubatan dan jururadiografi, tetapi juga kepada pakar dalam bidang radiologi yang akan datang termasuk pakar dari Kementerian Kesihatan yang turut mendapat latihan di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 7:53 AM