OPERASI mencari mangsa diteruskan di kawasan Kuala Besar dan Pengkalan Kubor, Tumpat.
OPERASI mencari mangsa diteruskan di kawasan Kuala Besar dan Pengkalan Kubor, Tumpat.
HM Digital

Kota Bharu: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesara guru yang hilang selepas bot yang dinaiki terbalik di Kuala Besar, di sini sejak Selasa lalu masih belum menemui sebarang petunjuk.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, bot yang dalam perjalanan pulang itu terbalik selepas dipukul ombak sebelum Wan Husin Wan Abdullah, 62, dan rakannya, Wan Zaidi Wan Hussin, 57, terpaksa berpaut pada bot selama tiga jam untuk menyelamatkan diri.

Wan Zaidi ditemui orang ramai dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas berenang selama sejam ke daratan manakala Wan Husin masih belum ditemui sehingga kini.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Kota Bharu Penguasa Bomba Kanan II Syobirin Abd Kadir berkata, semalam operasi bermula seawal jam 7 pagi membabitkan pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan nelayan.

Pihaknya turut membawa dua anak mangsa yang ingin menyertai operasi SAR terbabit.

“Hari ini (semalam) kita pecahkan kepada dua kumpulan, satu pasukan melakukan pencarian di pesisiran pantai manakala satu lagi di laut.

“Di laut, kita bergerak sejauh lapan batu nautika ke arah timur dan barat dari pos kawalan, dan pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) membuat pencarian 20 batu nautika dari pesisiran pantai.

“Bagaimanapun, sehingga kini kita tidak menemui sebarang petunjuk termasuk di lokasi bot mangsa dipercayai terbalik,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Harian Metro sebelum ini melaporkan pesara guru itu turun ke laut bersama rakannya pada jam 2.30 petang dan menangkap udang, sotong dan ikan selama satu jam sebelum bergerak ke darat.

Sebaik sampai di Kuala Besar, bot mereka terbalik selepas dipukul ombak dan mereka berpaut pada kepala bot selama tiga jam sebelum berpisah pada jam 7 malam.

Syobirin berkata, pihaknya terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 8:02 AM