Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Faudzi Che Mamat (tengah) menunjukkan senarai penerima darjah kebesaran, pingat, bintang dan jaksa pendamai sempena Hari Keputeraan Ke-48 Sultan Kelantan Sultan Muhammad V selepas sidang media di Istana Balai Besar. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Muhamaad Razis Ismail


PANGLIMA Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Azizan Md Delin mengetuai senarai 624 penerima darjah kebesaran, pingat, bintang dan jaksa pendamai sempena Hari Keputeraan Ke-48 Sultan Kelantan Sultan Muhammad V di Istana Balai Besar, Kota Bharu hari ini.

Azizan menjadi penerima tunggal Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (SPKK) yang membawa gelaran Datuk.

Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK) yang membawa gelaran Datuk dikurniakan kepada tiga penerima diketuai Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Zawawi Salleh, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia Datuk Seri Alias Ahmad dan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Nik Kazim Nik Yusoof.

Dua penerima bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DPMK) yang membawa gelaran Datuk iaitu Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris dan Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan Kompleks Jabatan Perdana Menteri Datuk Hasanah Ab Hamid.

Seramai enam penerima bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) membawa gelaran Datuk termasuk Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Periuk Mohamad Awang dan Ahli Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Wan Hassan Wan Muhammad.

Bagi Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (DPKK) membawa gelaran Datuk membabitkan seramai tujuh penerima termasuk Panglima Markas 2 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohd Ramli Jaafar, Panglima Markas Briged Artileri Roket Brigediar Jeneral Wee Han Siew dan Panglima 8 Bridged Brigediar Jeneral Nazari Abd Hadi.

Selain itu, seramai 12 penerima dianugerahkan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DPSK) membawa gelaran Datuk termasuk Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu Syed Md Hasrin Tengku [email protected] Hussin, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Dr Mohd Gazali Abas dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan Yahya Mamat.

Lapan penerima dianugerahkan Darjah Kebesaran Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (DPJK) membawa gelaran Datuk antaranya Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/ Pematuhan) Datuk Zulkifli Yahya, Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan, Pengarah Kastam Kelantan Mohd Nasir Yusoff dan Timbalan Ketua Polis Kelantan Din Ahmad.

Dalam pada itu, 191 penerima bintang termasuk Ketua Biro Berita Harian Kelantan, Anwar Aminuddin Mat Hussin yang menerima Bintang Seri Mahkota Kelantan (SMK).

Selain itu, seramai 193 penerima pingat termasuk wartawan sambilan Harian Metro Kelantan, Rosliza Mohamed yang menerima Pingat Setia Mahkota Kelantan (PS).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 12:39 PM