Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO ihsan bomba
Hazsyah Abdul Rahman
hmkk@hmetro.com.my


SEORANG lelaki maut manakala tiga lagi cedera selepas dua Perodua Viva bertembung di Kilometer 14, Jalan Telupid - Beluran, Telupid, 6 pagi hari ini.

Pemandu dikenali sebagai Erwansah, 40, disahkan maut di lokasi kejadian manakala pemandu sebuah lagi Perodua Viva turut parah.

Ketua Polis Daerah Beluran Superintendan V Shivananthan berkata, ketika kejadian mangsa yang terbunuh dalam perjalanan menuju ke pekan Telupid manakala kereta yang merempuh mangsa bergerak dari arah bertentangan.

Katanya, kereta mangsa yang parah dipercayai hilang kawalan dan memasuki lorong bertentangan sebelum bertembung dengan kereta dipandu Erwansah.

"Akibat rempuhan itu, Erwansah meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.

Shivananthan berkata, siasatan lanjut mendapati kedua-dua pemandu tidak memiliki lesen memandu dan tidak pengenalan diri yang sah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 8:04 PM