MAHMUD
MAHMUD
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Kuantan: Yayasan Pahang (YP) muncul organisasi pertama di Pahang menerima pengiktirafan Sistem Pengurusan Pencegahan Rasuah (ABMS) yang diguna pakai bagi mencegah gejala rasuah dalam organisasi berkenaan.

Sistem ABMS digunakan YP dan dibangunkan bersama Universiti Malaysia Pahang (UMP) sejak Mac lalu bagi memudahkan pemantauan dijalankan terhadap semua pegawai dan kakitangannya.

Pengurus Besarnya Datuk Mahmud Mohd Nawawi berkata, penggunaan sistem itu adalah rentetan daripada penubuhan Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus (JITU) sedia ada.

“Jika sebelum ini kami ada JITU bagi mencegah rasuah, melalui sistem ABMS ini, kami dapat melakukan pemantauan dengan lebih berkesan dan sistematik.

“Tujuan kami perkenalkan sistem ABMS untuk mengubah persepsi masyarakat yang sering melabelkan agensi Kerajaan Persekutuan atau negeri tidak berdaya saing dan terdedah amalan rasuah.

“Tanggapan ini perlu diubah dan kami percaya sistem ini dapat meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap agensi kerajaan,” katanya dalam sidang media di Kompleks Yayasan Pahang, di sini.

Sistem digunakan YP itu memperoleh Skim Persijilan ABMS ISO 37001:2016 daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd.

Mahmud berkata, sistem itu menekankan usaha mengukur, mengekang dan menghalang perlakuan rasuah membabitkan siri pengukuran dan kawalan mewakili amalan baik anti rasuah peringkat global.

Katanya, walaupun sebelum ini mereka melaksanakan audit nilai secara dalaman dan luaran, ikrar integriti korporat dan pembudayaan nilai murni, sistem ABMS dilihat sebagai lebih sistematik.

“Kami melaksanakan pelbagai inisiatif seperti pertukaran dalaman di jabatan berisiko terdedah rasuah setiap enam bulan sekali.

“Pencapaian ini sesuatu yang membanggakan, apatah lagi kami antara 11 organisasi pertama di negara ini dan pertama di Pahang selain Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Tabung Haji dan Jabatan Imigresen Malaysia menerima pengiktirafan seperti ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyampaikan penghargaan kepada Lembaga Pemegang Amanah YP dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob atas segala sokongan diberi terhadap usaha memartabatkan pendidikan anak Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 7:55 AM