DATUK Seri Zulkifli Abdullah (dua kanan) melihat bot dan kelengkapan yang akan digunakan untuk bantu mangsa banjir. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


SERIBU anggota polis pasukan khas termasuk pegawai ditempatkan di seluruh negara bagi membantu mangsa banjir yang akan digerakkan dalam setengah jam.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, pasukan khas itu ditempatkan di seluruh negara.

Katanya, jika berlaku banjir, pasukan terbabit yang bersiap untuk digerakkan bersama aset darat dan udara termasuk bot, helikopter, lori serta kenderaan yang sesuai.

“Mereka akan bergerak pantas membantu mangsa banjir yang turut dibantu anggota polis yang lain.

“Semua anggota setiap negeri akan bergerak membantu mangsa banjir dengan kerjasama agensi lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya dalam sidang media selepas Lawatan Kerja ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor, Tumpat, hari ini.

Beliau membuat rondaan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand dengan menaiki bot.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Din Ahmad, Komander Markas PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Zulkafli Sariaat dan Polis Diraja Thailand Sempadan Sungai Golok, Polis Kapten Abdul Hakem Che Moh.

Beliau berkata, di musim banjir ini, pusat kawalan Malaysia dibuka 24 jam bagi melancarkan operasi.

Selain itu, katanya, PPM Kelantan merampas barang seludup bernilai RM8.7 juta, di antara Januari hingga Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 12:03 PM