Mat rempit ditahan polis ketika cuba mengangkat motosikal melepasi besi penghadang di Lebuhray PLUS berdekatan Taman Setia Tropika, Johor Bahru ketika digempur polis trafik awal pagi ini. FOTO Mohamad Azhari Jaafar
Mohamad Azhari Jaafar


SEKUMPULAN mat rempit sanggup menggadai nyawa menungang melawan arus dan mengangkat motosikal melepasi besi penghadang jalan ketika digempur polis di Taman Setia Tropika, Johor Bahru awal pagi ini.

Lebuhraya PLUS berhampiran taman perumahan itu kerap dijadikan litar lumba haram terutama pada hujung minggu.

Operasi membabitkan tujuh pegawai dan 76 anggota diketuai Pegawai Turus Penguatkuasa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor, Asisten Superintenden Fazree Mohd Ariff.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, sebanyak 160 motosikal disita dalam operasi bermula jam 12 tengah malam itu.

"Biarpun pernah digempur sebelum ini, mat rempit tidak pernah serik melakukan aktiviti itu.

"Kawasan ini menjadi litar lumba bagi mereka pada malam minggu dan sering membabitkan ratusan motosikal sehingga mengancam nyawa pengguna jalan raya lain," katanya.

Menurutnya, ketika Ops Samseng Jalanan itu dilakukan, ada penunggang motosikal cuba mengangkat kenderaan mereka ke seberang lebuh raya untuk melarikan diri namun gagal.

"Ada juga yang memasuki gaung untuk bersembunyi namun berjaya dikesan," katanya.

Polis turut menahan dua penunggang motosikal masing-masing berusia 15 dan 25 tahun yang menunggang motosikal menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Sebanyak 152 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan selepas pemeriksaan lanjutan dilakukan di Balai Polis Dato Onn.

Kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkusaan Trafik Johor Bahru Utara untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 4:43 PM