KAWASAN tanah runtuh di Jalan Bukit Mewah Bukit Antarabangsa.
HM Digital

Ampang: Pengukuhan atau penstabilan cerun di sekitar daerah ini dilihat semakin giat dilaksanakan bagi mengelakkan sebarang kemungkinan tanah runtuh.

Tinjauan Harian Metro di beberapa kawasan seperti Bukit Antarabangsa, Taman Bukit Permai dan Lembah Jaya mendapati pelbagai teknik digunakan bagi mengukuhkan semula permukaan batu di lereng cerun batuan.

Tindakan itu juga sekali gus dapat mengurangkan risiko cerun kritikal kepada kurang bahaya.

Selain itu, bagi mengurangkan bahaya, papan tanda amaran cerun dan tanah runtuh di tepi jalan juga diletakkan sebagai peringatan.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Rahman, 50-an berkata, penyelenggaraan merangkumi kerja pembersihan saluran longkang di kawasan cerun dan membuang pokok liar juga dilihat sebagai tindakan awal untuk mengenal pasti kegagalan cerun.

“Kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada 2008 antara yang masih saya ingati.

“Itu kejadian yang paling besar pernah saya lihat.

“Sudah sembilan tahun ia berlalu, kerja menstabilkan cerun di tempat itu juga sudah dibuat agar keselamatan kami yang masih mendiami kawasan sekitar terus terjamin,” katanya.

Menurutnya, kejadian tanah runtuh itu meninggalkan kesan mendalam kepada mereka dan sentiasa bersiap sedia sekiranya hujan lebat tanpa henti terus berlaku.

“Apa boleh buat, inilah nasib kami yang tinggal berdekatan lereng bukit dengan harapan pihak berkuasa akan terus menjalankan kerja mereka dengan memantau keadaan untuk keselamatan penduduk.

“Sejak peristiwa itu, memang ramai yang mengambil iktibar dan untuk pemaju perumahan, saya berharap mereka sentiasa membina penahan cerun dan lereng di kawasan pembinaan,” katanya.

Difahamkan, Ampang adalah satu kawasan yang mempunyai banyak cerun iaitu sebanyak 352 di 600 lokasi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2017 @ 9:15 AM