CHE Hasni memeriksa dokumen perjalanan sebuah bas ekspres dalam operasi Serkap di Terminal Bas Lembah Sireh.
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Kota Bharu: Mematikan aplikasi tempahan untuk mengelakkan dikesan syarikat pengendali menjadi taktik segelintir pemandu Uber dan Grab terutama di Lembah Klang yang ‘mengulat’ untuk mendapat lebih keuntungan.

Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, pihaknya mengesan aktiviti itu mula menular dalam perkhidmatan itu sejak kebelakangan ini.

Katanya, pemandu terbabit dipercayai sengaja tidak menggunakan aplikasi sedia ada untuk mengambil penumpang kerana tidak mahu membayar kepada syarikat pengendali perkhidmatan itu.

“Sejak Oktober tahun lalu hingga kini, SPAD sudah mengambil tindakan terhadap 153 ulat teksi termasuk Uber dan Grab kerana melakukan kesalahan terbabit.

“Kegiatan tidak bertanggungjawab itu banyak dikesan di lokasi yang mempunyai persaingan tinggi seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2.

“Ketika menjalankan aktiviti itu, pemandu akan mematikan aplikasi bagi mengelakkan dikesan syarikat pengendali sebelum memujuk penumpang serta pelancong yang baru tiba di lapangan terbang supaya menaiki kenderaan mereka,” katanya ketika ditemui selepas Ops Serkap di Terminal Bas Lembah Sireh di sini, kelmarin.

Menurutnya, tindakan yang dilakukan segelintir pemandu terbabit menjejaskan imej perkhidmatan pengangkutan awam terbabit.

“Oleh itu, kita mahu syarikat pengendali perkhidmatan terbabit dapat mengambil tindakan terhadap ulat berkenaan sama ada mengenakan sekatan atau larangan menyediakan perkhidmatan Uber dan Grab,” katanya.

Mengulas lanjut, Che Hasni berkata, pemandu teksi juga kini dibenar dan digalak menggunakan aplikasi tempahan mengikut syarat yang ditetapkan.

“Sebaik menggunakan aplilasi ini, pemandu teksi tidak dibenarkan mengambil penumpang di tepi jalan melainkan sudah menerima tempahan daripada pelanggan,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Che Hasni berkata, Ops Serkap dilakukan untuk memastikan pengendali perkhidmatan awam mematuhi peraturan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2017 @ 11:07 AM