Zatul Iffah Zolkiply


TUKANG jubin dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini atas tuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine, heroin dan morfin.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz selepas tertuduh, Tan Song Song, 44, mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39 A(2) akta yang sama.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang sudah bercerai didakwa memiliki dadah berbahaya iaitu methamphetamine seberat 75.79 gram di hadapan rumah di Felda Neram 1, Neram, Kemaman, pada 3.30 pagi, 25 Januari 2016.

Selain itu, tertuduh turut didakwa memiliki dadah berbahaya iaitu heroin seberat 9.68 gram dan monoacetylmorphines (morfin) seberat 1.90 gram di alamat, waktu dan tarikh sama.

Bagi setiap kesalahan itu, Zainal Azman menjatuhkan hukuman 10 tahun dan 10 sebatan.

Bagaimanapun, Zainal Azman mengarahkan hukuman penjara berjalan secara serentak.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam, T. Kumar daripada Kumar Thangaraju & Co.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguamnya dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana sudah insaf selain perlu menanggung dua anak lelakinya masing-masing berusia 19 dan 20 tahun yang masih belajar.

Katanya, tertuduh juga menghidap penyakit kencing manis serta pernah diserang strok pada Mac 2017 dan masih menerima rawatan akibat penyakit itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2017 @ 9:50 PM