Jambatan Kampung Pulai turut tenggelam. FOTO Ramli Ibrahim dan Ihsan APM
Ramli Ibrahim


HUJAN berterusan melebihi lima jam, malam tadi turut menyebabkan lapan rumah termasuk dua unit tidak berpenghuni di Kampung Tanah Puteh, Gua Musang, dinaiki air.

Banjir kilat itu menyebabkan 33 penduduk membabitkan enam keluarga berpindah ke rumah jiran berhampiran untuk menyelamatkan diri, kira-kira 4 pagi.

Mereka kembali ke rumah masing-masing pada 7 pagi tadi selepas air surut sepenuhnya.

Mangsa terjejas, Siti Nor Asiah Aziz, 27, berkata, dia sekeluarga menghadapi musibah itu buat kali kelima tahun ini berikutan kedudukan rumah di kawasan rendah.

"Setiap kali hujan berterusan dan lebat, akan berlaku limpahan dari anak sungai berhampiran hingga menyebabkan rumah turut terjejas.

"Tahun ini saja sudah kali kelima rumah dinaiki air. Saya tersedar apabila ada penduduk kampung mengetuk pintu rumah dan segera menyelamatkan diri.

"Ketika itu, air sudah memasuki rumah separas paha saya. Tak sempat pun nak selamatkan perabot atau perkakas rumah yang lain," katanya, hari ini.

Banjir kilat di Kampung Tanah Puteh. FOTO Ramli Ibrahim dan Ihsan APM

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Kamarulzaman Abd Hamid, 38, berkata, dia akan berjaga-jaga setiap kali hujan berterusan kerana bimbang air naik mendadak disebabkan anak sungai yang cetek.

Ketika kejadian itu, dia menyedarinya lebih awal dan sempat menyimpan barang penting sebelum membawa keluarganya menumpang ke rumah jiran.

"Apabila kembali ke rumah tadi, banyak yang perlu dibersihkan dan harap-harap cuaca lebih baik hari ini," katanya.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Mohd Taufik Maidin ketika dihubungi memberitahu, semua mangsa yang terjejas berpindah dengan selamat.

Beberapa kawasan rendah dinaiki air pagi ini susulan hujan berterusan malam tadi, namun air kembali surut selepas beberapa jam.

"Dalam keadaan cuaca tidak menentu ini, penduduk di kawasan rendah dinasihatkan supaya berwaspada sentiasa dan berhati-hati.

"Buat persiapan dan patuh peraturan pihak berkuasa," katanya.

Air Sungai Ketil yang menenggelamkan Jambatan Kampung Kerinting semakin surut. FOTO Ramli Ibrahim dan Ihsan APM

Setakat 11.30 pagi tadi, limpahan Sungai Ketil yang menenggelamkan jambatan Kampung Kerinting sudah surut dan jambatan itu dijangka boleh dilalui, tengah hari.

Jambatan di Kampung Pulai turut terjejas selain jambatan sementara Kampung Pulau Setelu, namun limpahan sungai sudah mulai surut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 1:06 PM