ISMAIL disahkan meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam jam 4.15 petang tadi selepas terjatuh dari motosikalnya. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


LELAKI warga emas meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam (HBM) selepas terjatuh ketika ingin mengangkat tilam yang diterima dalam program bantuan untuk mangsa banjir di Kampung Permatang Rawa di sini, 2.50 petang tadi.

Dalam kejadian itu, Ismail Ahmad, 71, dari Kampung Paya, Tanah Liat, menghadiri majlis penyampaian sumbangan yang disempurnakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri.

Difahamkan, dia tiba-tiba terjatuh dari motosikalnya sebelum pengsan dan diberi rawatan kecemasan oleh jururawat yang kebetulan melalui kawasan itu.

Orang ramai termasuk Naib Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh Abdul Aziz Shek Ahmad dan beberapa kakitangan KKLW juga memberikan bantuan kepadanya.

Ismail kemudian dibawa ke HBM menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut namun meninggal dunia 4.15 petang dan jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Tengah, Berapit esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 10:16 PM