ANTARA warga asing yang ditaan. FOTO ihsan Jabatan Imigresen
Ayusliza Azizan
am@hmetro.com.my


SERATUS DUA warga asing ditahan dalam Ops Ikrar yang dijalankan Jabatan Imigresen Selangor di rumah kongsi Setia Taipan Alam Nusantara, Shah Alam, kelmarin.

Ketika serbuan dari 12.30 tengah malam hingga 4 pagi itu, kebanyakan warga asing di rumah kongsi itu sedang tidur.

Ada antara mereka cuba melarikan diri namun diberkas berikutan kawasan berkenaan sudah dikepung.

Pengarah Jabatan Imigresen Selangor, Omran Omar berkata, 320 warga asing diperiksa dalam operasi itu dan 102 ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Beliau berkata, majoriti warga asing itu bekerja di kawasan pembinaan sekitar lokasi rumah kongsi terbabit.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh dan Myanmar membabitkan 31 perempuan dan 71 lelaki berusia setahun hingga 52 tahun.

"Antara kesalahan yang dikesan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah serta tamat tempoh pas.

"Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963," katanya, hari ini.

Omran berkata, warga asing yang ditahan itu dibawa ke pejabat penguat kuasa Jabatan Imigresen Selangor di Shah Alam untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 10:42 AM