Anggota bomba terpaksa tidur dua malam di dalam hutan bersama mangsa yang patah kaki ketika operasi SAR di Ulu Sungai Pangas, Keningau. FOTO Ihsan Bomba
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my

SEKUMPULAN enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau terpaksa mengambil masa tiga hari bagi menyelamatkan lelaki yang patah kaki ketika menangkap ikan di Ulu Sungai Pangas, Keningau, Ahad lalu.

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Khatizah Rahaban berkata, perjalanan ke lokasi mangsa mengambil masa tiga jam menggunakan pacuan empat roda menyusuri laluan balak sepanjang 42 kilometer, ditambah enam jam lagi dengan berjalan.

"Selepas menerima panggilan pada 4.50 pagi Ahad lalu, sepasukan enam anggota bomba dengan dibantu 25 penduduk Kampung Ulu Pangas digerakkan ke lokasi pada 5 pagi.

"Pasukan SAR terbabit berjaya menemui mangsa pada 11.45 pagi hari yang sama namun terpaksa bermalam di lokasi mangsa ditemui kira-kira 42 kilometer dari BBP Keningau sementara menunggu bantuan daripada pasukan SAR kedua," katanya, hari ini.

Bagaimanapun katanya, pasukan penyelamat berdepan kesukaran untuk membawa mangsa keluar kerana faktor cuaca dan terpaksa melalui laluan berbukit-bukau disebabkan laluan bot terjejas akibat air sungai yang besar.


Memasak di hutan ketika operasi SAR. FOTO Ihsan Bomba

Katanya, lokasi di kawasan pencarian juga tiada liputan komunikasi.

"Pasukan SAR kedua digerakkan ke lokasi bagi membantu pasukan SAR pertama pada 6 pagi kelmarin sebelum mangsa dapat dibawa keluar pada 1.55 tengah hari semalam.

"Mangsa, Zaidi Sius, 41, kemudian dihantar ke Hospital Keningau menggunakan kenderaan Perkhidmatan Anggota dan Penyelamat Paramedik bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Tambahnya, operasi tamat kira-kira 2 petang semalam dan mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 12:06 PM