Suspek memecah masuk menerusi siling premis.
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my

LELAKI Indonesia ditahan polis selepas pecah masuk stesen minyak di Jalan Tun Abang Haji Openg, di Kuching, awal pagi semalam.

Suspek berusia 27 tahun ditahan polis kira-kira 4.30 pagi di tapak pembinaan berdekatan stesen minyak berkenaan.

Suspek yang dipercayai bekerja sebagai buruh di tapak pembinaan berhampiran ditahan polis selepas jejaknya dihidu anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak yang dipanggil untuk membantu.

Sebelum itu, suspek memecah masuk premis berkenaan menerusi siling kira-kira 4 pagi memandangkan stesen minyak itu tidak beroperasi sebelum menggeledah kaunter dan pejabat untuk mencari wang serta barang berharga.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Abang Junaidi Abang Anuar berkata, polis yang mendapat maklumat mengenai kejadian bergegas ke lokasi sebelum terserempak suspek yang dilihat memanjat pagar stesen minyak berkenaan untuk memasuki tapak pembinaan.

"Polis mengepung kawasan terbabit sebelum mendapatkan bantuan Unit K9 untuk menjejaki suspek.

"Suspek kemudian ditemui bersembunyi di tapak pembinaan berkenaan dan cuba meloloskan diri sebaik menyedari kehadiran polis," katanya.

Abang Junaidi berkata, suspek bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan namun akhirnya berjaya ditahan.

Katanya, pemeriksaan lanjut menemui 15 kotak rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM255 dan sehelai baju namun jumlah kerugian masih dalam siasatan.

"Suspek yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri kemudian dibawa ke Balai Polis Sentral untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 1:57 PM