Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my


SERAMAI 15 ahli sindiket pemalsuan dokumen warga Bangladesh ditahan dalam operasi khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Seri Kembangan pada jam 10.30 malam, tadi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, hasil risikan selama sebulan ke atas sindiket berkenaan oleh Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa JIM, menahan 15 ahli sindiket termasuk sepasang suami isteri dan ahli keluarga terdekat.

Katanya, sindiket berkenaan dipercayai sudah aktif sejak setahun lalu dengan menjadikan kedai - kedai telefon yang disewa sebagai tempat beroperasi untuk mendapatkan pelanggan selain memasarkan dokumen palsu itu.

"Sindiket ini diketuai seorang lelaki warga Bangladesh berusia 40 tahun yang mempunyai kepakaran di dalam bidang teknologi maklumat manakala ahli keluarganya yang membantu dalam proses pengedaran dan mencari pelanggan.

"Turut ditahan, anak pasangan itu yang berusia tiga tahun yang berada bersama ahli sindiket ketika serbuan," katanya pada sidang media di JIM Kuala Lumpur selepas menyaksikan Majlis Ikrar Bebas Rasuah, hari ini.


Antara barang rampasan ketika sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN). FOTO Asyraf Hamzah

Menurutnya, sindiket berkenaan mampu menghasilkan 40 dokumen palsu dalam tempoh 24 jam hanya menggunakan komputer, mesin pencetak, pencetak kad, mesin 'laminate' untuk menghasilkan dokumen palsu yang dijual pada harga RM40 sekeping.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 2:07 PM
Mustafar menunjukkan dokumen palsu ketika sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN). FOTO Asyraf Hamzah