Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

TUKANG cuci warga Indonesia dihukum penjara 24 bulan dan didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini atas kesalahan mencuri wang daripada akaun bank pelanggannya, September lalu.

Tertuduh yang hanya dikenali sebagai Mariamah, 43, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap tiga kes membabitkan lapan pertuduhan pindaan mencuri wang pesara guru, Sofiah Daud, 78, (pengadu) berjumlah RM12,000.

Hakim Zulhazmi Abdullah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan 32 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Dia dituduh mencuri wang pengadu dengan membuat lapan transaksi pengeluaran setiap satu sebanyak RM1,500 menggunakan kad juruwang automatik (ATM) di CIMB Bank, Jalan Pegawai, Alor Setar, pada tarikh dan masa berbeza antara 8 September hingga 12 September lalu.

Bagi kes pertama, Mariamah didakwa mencuri wang pengadu berjumlah RM4,500 melalui tiga transaksi di mesin ATM CIMB Bank terbabit, iaitu pada 8 September, 7.15 pagi dan 7.18 pagi serta pada 10 September, 7.08 pagi.

Kes kedua, tertuduh mencuri wang pengadu dalam jumlah sama melalui transaksi pada 10 September 7.10 pagi dan keesokan harinya 8.02 malam dan 8.04 malam.

Kes ketiga, dia dituduh mencuri wang pengadu sebanyak RM3,000 melalui dua transaksi di bank sama pada 12 September, jam 10.55 pagi dan 10.57 pagi.

Berdasarkan fakta kes dikemukan pendakwaan, sebaik menyedari kad ATM CIMB Bank miliknya hilang, pengadu terus menghubungi pihak bank terbabit untuk pemeriksaan.

Pihak bank memaklumkan terdapat beberapa transaksi pengeluaran melalui akaun banknya berjumlah RM12,000. Hasil pemeriksaan kamera litar tertutup di bank mendapati tertuduh yang mencuri wang itu yang kemudian dicam oleh pengadu sebagai tukang cuci di rumahnya.

Pengadu juga pernah membawa tertuduh menemaninya membuat pengeluaran wang di mesin ATM dan wanita itu tahu nombor pin kad ATMnya.

Pertuduhan bagi semua kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dipenjara dan denda atau sebat.

Mahkamah memutuskan tertuduh dihukum penjara tiga bulan dan denda RM1,000 setiap pertuduhan serta menetapkan hukuman penjara berjalan berturut-turut dari tarikh ditangkap.

Selain itu, penjara tambahan empat bulan lagi dikenakan kepada tertuduh jika gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan.

Terdahulu, Mariamah merayu supaya dikenakan hukuman ringan atas alasan dia berasal daripada keluarga miskin.

Timbalan Pendakwa Raya Eliana Ismail bagaimanapun berhujah supaya mahkamah mengenakan hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Beliau berkata, pengakuan bersalah jelas menunjukkan tertuduh yang juga warga asing melakukan kesalahan jenayah.

"Sebagai warga Indonesia, tertuduh datang ke negara ini untuk bekerja, namun melakukan jenayah curi wang pengadu yang memberinya pekerjaan.

"Pengadu mengalami kerugian besar iaitu RM12,000 memandangkan dia pesara. Justeru, pendakwaan memohon hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh dan warga asing lain agar tidak mengulangi kesalahan di negara ini pada masa depan," katanya.

#kw tukang cuci warga Indonesia, dihukum penjara 24 bulan dan denda RM8,000, curi wang pelanggan.

#loc 6.1483248000000001, 100.36371750000001

tamat-

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 3:09 PM
Tukang cuci dihukum penjara 24 bulan curi wang RM12,000. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad