Enam ekor ular tedung dalam sebuah bekas ditemui dalam sebuah kereta ketika sekatan jalanraya di Alor Pongsu menghala ke Bagan Serai. FOTO Ihsan PDRM
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi dan Nor Raidah Awang
am@hmetro.com.my


TINDAKAN tiga lelaki termasuk seorang warganegara Thailand, membawa enam ekor ular tedung senduk tanpa dokumen kebenaran sah, mengundang padah apabila ditahan pihak polis dalam Ops Khazanah di Jalan Selama berhadapan Sekolah Kebangsaan Matang Jelutung, Bagan Serai, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar berkata, dalam operasi 7.05 petang dengan kerjasama Jabatan Perhutanan negeri dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak, pihaknya menahan kereta Proton Saga putih dari Alor Pongsu menghala ke Bagan Serai dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam kereta yang dinaiki tiga lelaki itu menemui enam kotak kayu berwarna kelabu di ruang tempat duduk belakang dan di dalam terdapat ular tedung senduk.

"Ketiga-tiga lelaki berusia antara 27 hingga 40 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut.

"Pemeriksaan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang dokumen daripada PERHILITAN bagi memiliki haiwan itu," katanya.

Menurutnya, kes diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan PERHILITAN Perak dan disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Perak, Wan Shaharuddin Wan Nordin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 60(1)(a) dan 60(1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] iaitu menyimpan dan memiliki hidupan liar tanpa lesen dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 3:10 PM