POLIS berpangkat sarjan ditahan reman selama enam hari mulai hari ini susulan dakwaan menerima suapan bernilai RM2,000, semalam.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret Kota Bharu, Nor Faizah Abdullah.
Tertuduh yang juga penolong penyiasat berusia 29 tahun itu didakwa meminta dan menerima suapan untuk melepaskan seorang tahanan yang positif dadah.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan, Datuk Moh Samsuddin Yusof berkata, anggota itu ditahan pihaknya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli, kira-kira 1 tengah hari semalam.
“Kita menerima aduan mengenai tindakan anggota berkenaan meminta dan menerima RM2,000 sebagai balasan untuk melepaskan seorang tahanan narkotik berusia 39 tahun.
“Tahanan itu menjalani ujian air kencing dan didapati positif dadah,” katanya, hari ini.
Beliau berkata, tangkapan dibuat sejurus maklumat diterima dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.