ISHAK melihat rumahnya di Kampung Guar Kubang Paya, Pauh yang musnah terbakar.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Arau: “Pada mulanya saya ingatkan kucing bergaduh di tingkat atas rumah hingga terjaga daripada tidur sebelum menjerit dari dalam bilik untuk menghalaunya namun bunyi itu kemudian bertukar seperti mercun dan baru tersedar rumah terbakar.”

Begitu kata Ishak Din, 62, selepas kediamannya di Kampung Guar Kubang Paya, Pauh, di sini musnah dalam kebakaran, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi, Ishak bersama isteri, Mariam Md Arif, 59, dan anaknya, Ismarizan Ishak, 37, yang tidur lari keluar dari rumah selepas menyedari kebakaran itu.

Ishak berkata, dia menyedari rumahnya terbakar ketika keluar dari bilik tidur untuk memeriksa selepas terdengar bunyi seakan-akan mercun itu sebelum terkejut melihat bahagian atas rumah terbakar.

“Api marak dengan cepat hingga saya, isteri dan anak tidak sempat menyelamatkan dokumen penting kerana memikirkan keselamatan diri,” kata pesara kerajaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2017 @ 3:57 AM