FOTO Mohd Syafiw Ridzuan Ambak
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


BUKAN jumlah kelapa yang dijatuhkan menjadi perhatian tapi perangai beruk membuatkan pengunjung tidak kering gusi di Pertandingan Beruk Pantas Petik Kelapa, di Kampung Alur Wan Syed, Marang, hari ini.

Apa tidaknya, ketika pemiliknya mengejar satu minit yang diberi, ada beruk seolah-olah ‘tunggu sekejap’, lompat atas tubuh tuannya, panjat tanpa petik kelapa, berjalan dan bersantai atas palang yang digantung buah kelapa.

Pertandingan anjuran J3K Kampung Alur Wan Syed itu berjaya menghimpunkan pemilik beruk dari daerah ini dan tempat lain seperti Kemaman, Kuala Nerus, Besut dan Kelantan.


FOTO Mohd Syafiw Ridzuan Ambak

Timbalan Pengerusi J3K Tanah Lot Alur Wan Syed, Ikhtika Ahmad Hassan berkata, idea menganjurkan program itu diilhamkan rakan yang majoritinya berasal dari Kelantan.

Dia berkata, walaupun julung kali diadakan, 60 beruk bertanding untuk tiga kategori iaitu A (Beruk Besar), B (Beruk Sederhana) dan C (Beruk Kecil) dengan hampir 1,000 kelapa disediakan.

“Ia bukan hanya berjaya menghimpunkan peminat beruk tetapi penduduk di kawasan ini juga teruja menyaksikan pertandingan.

“Melihat kepada sambutan itu, pertandingan ini akan dijadikan acara wajib bagi kampung ini.


FOTO Mohd Syafiw Ridzuan Ambak

“Malah, ADUN Pengkalan Berangan, A Latiff Awang yang turut berkesempatan menyaksikan pertandingan itu juga menyokong usaha itu yang dilihat boleh dikembangkan sebagai produk pelancongan bagi DUN Pengkalan Berangan,” katanya.

Dalam pertandingan itu, kepantasan beruk peliharaan Mohd Zulkifli Mat Idris, 42, yang digelar Wak Isa memetik 22 kelapa dalam seminit membolehkannya dipilih juara bagi kategori A.

Mohd Zulkifli yang berasal dari Bachok, Kelantan, berkata Wak Isa berusia tujuh tahun dibentuk dan dilatih untuk mendengar arahan dan dibesarkan seperti anak sendiri.

“Wak Isa sudah memasuki tujuh pertandingan seperti ini dan saya tidak pernah meletakkan apa-apa sasaran. Bagi saya, kalah menang adat pertandingan kerana apa yang penting dapat menambah kenalan dan berkongsi pengalaman.

“Saya membeli Wak Isa RM2,000, kira-kira dua tahun lalu. Ambil seminggu untuk mengawalnya.

“Beruk ini kita kena lebih garang daripadanya supaya mendengar kata dan tidak agresif,” katanya yang turut mempunyai satu lagi beruk yang digelar Kuning.

Pada pertandingan itu, pemenang bagi Kategori A menerima RM300, RM200 (kedua) dan RM150 (ketiga).

Juara Kategori B pula menerima RM200, RM150 (kedua) dan RM100 (ketiga).

Pemenang Kategori C pula menerima RM150, RM100 (kedua) dan RM50 (ketiga) manakala setiap pemenang tempat keempat hingga keenam bagi setiap kategori menerima hamper.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2017 @ 8:36 PM