Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


SEBAHAGIAN kecil kawasan letak kereta pangsapuri dekat Jalan Ukay Bistari, Taman Ukay, Ulu Kelang, runtuh kira-kira 6 petang Sabtu.

Bagaimanapun, runtuhan kira-kira tiga meter dengan panjang rekahan hampir 17 meter itu tidak membabitkan kediaman penduduk.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor berkata, terdapat dua kereta yang diletakkan di lokasi kejadian namun runtuhan tidak menjejaskannya.

“Kami menerima panggilan kejadian pada 6.30 petang. Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang bergegas ke lokasi,” katanya.

Beliau berkata, anggota membuat pemantauan di sekitar tempat kejadian dan mendapati tiada mangsa terbabit.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Kerja Raya (JKR) Gombak, berkata pihaknya perlu menyiasat kejadian itu terlebih dahulu.

“Daripada pemerhatian kejadian ini akibat tembok penahan setinggi kira-kira tiga meter pecah.

“Punca tembok berkenaan pecah akan kami siasat lanjut dan tiada keperluan untuk penduduk berpindah.

“Bagaimanapun, kenderaan tidak dibenarkan menghampiri kawasan runtuhan untuk mengelak beban tambahan kepada kawasan runtuhan.

“Maklumat yang dikumpul pula menunjukkan jalan berkenaan bukan jalan JKR,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2017 @ 9:08 PM