MENANAM menggunakan bahan kitar semula.
Siti Fatimah Hassan dan Fairul Asmaini Mohd Pilus


Serdang: Pertanian bandaran atau kebun bandar kini semakin popular dalam kalangan masyarakat di kota.

Corak pertanian moden yang ringkas dan tidak memerlukan ruang luas itu menjadi pilihan kerana lebih mudah diusahakan selain mempunyai banyak manfaat untuk semua.

Pegawai Pertanian (Pengembangan dan Keusahawanan), Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia (UPM) Mahani Amat berkata, konsep pertanian bandar boleh dilakukan di mana-mana saja termasuk di rumah flat tanpa memerlukan ruang yang terlalu luas.

Katanya, terdapat banyak jenis tumbuhan boleh ditanam menerusi konsep pertanian bandar antaranya jenis ulam-ulaman serta untuk tujuan perubatan.

“Tanaman untuk perubatan misalnya, pokok jerangau, misai kucing, mas cotek, belalai gajah, aloe vera dan sebagainya boleh ditanam di pinggir laman dan tidak memerlukan penjagaan yang rumit.

“Manakala tanaman ulam-ulaman seperti kunyit, cili, daun kesom, pegaga, cekur pula boleh ditanam di dalam bekas atau bahan kitar semula di sekitar rumah kerana penjagaannya lebih mudah berbanding tanaman lain.

“Semua tanaman itu untuk kegunaan dalam masakan harian dan kita boleh mengurangkan kos perbelanjaan bulanan jika menanam sendiri di rumah,” katanya.

Bagi menggalakkan lagi orang ramai melaksanakan kebun bandar, Mahani berkata, pihak UCTC UPM bawah seliaan Pengarahnya Profesor Madya Dr Mansor Abu Talib menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, persatuan penduduk, sekolah serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Jelas beliau, kerjasama menerusi konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu adalah efisien dari segi kewangan selain skop pencapaiannya juga lebih meluas.

“Menerusi kerjasama berkenaan, kami turun padang berkongsi kepakaran selain memberi tunjuk ajar mengenai teknik penanaman yang lebih berkesan serta pembuatan baja kompos kepada orang ramai.

“Projek pertama dijalankan empat tahun lalu di kawasan perumahan awam di Pasir Gudang, Johor dan ternyata tanaman yang dihasilkan dapat membantu mengurangkan perbelanjaan penduduk,” katanya.

Menurut Mahani lagi, usaha perlu dilakukan untuk menarik golongan muda menceburi pertanian bandar kerana ketika ini, hanya warga emas serta yang berusia 40 tahun ke atas saja menunjukkan minat untuk mengusahakannya.

“Berkebun boleh mendatangkan banyak manfaat dan antara yang paling utama ia mampu membantu meningkatkan lagi interaksi sosial dalam kalangan penduduk setempat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2017 @ 4:37 AM