SITI MARIAM yang mengaku bersalah bersama suaminya Mohd Firdaus di Mahkamah Majistret Alor Setar atas pertuduhan gagal melaporkan kematian bayi perempuan mereka kepada pendaftar kelahiran dan kematian bulan lalu dibawa ke penjara selepas tidak dibenarkan jaminan.
Meor Riduwan Meor Ahmad


SUAMI isteri mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini atas pertuduhan gagal melaporkan kematian bayi perempuan mereka kepada pendaftar kelahiran dan kematian bulan lalu.

Mohd Firdaus Mohammad, 36, dan isterinya Siti Mariam Mat Saad, 23, membuat pengakuan itu sejurus dibacakan pertuduhan itu oleh jurubahasa mahkamah.

Majistret Nor Azah Idris bagaimanapun menetapkan kes untuk fakta dan hukuman pada 30 November ini selepas dipohon Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin.

Berdasarkan pertuduhan Mohd Firdaus dan Siti Mariam yang juga warga Indonesia dituduh gagal memberi maklumat kepada pendaftar berhubung butir-butir yang dikehendaki didaftarkan berkenaan kematian bayi perempuan (tidak bernama) berusia 14 hari.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Kampung Ulu, Kuala Kedah, dekat sini, pada 12 Oktober lalu, kira-kira jam 5 petang.

Oleh itu mereka melakukan kesalahan Seksyen 35 (a) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan, seksyen itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Muhammad Rifaie menawarkan jaminan RM6,000 namun peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Mohd Nuradzwan Rodzi merayu jaminan itu dikurangkan atas alasan Mohd Firdaus bekerja sebagai kelindan lori dengan pendapatan RM800 sebulan.

Katanya, anak guamnya menanggung isteri tidak bekerja dan dua anak berusia empat dan setahun lebih.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin bagi Mohd Firdaus, namun isterinya tidak dibenarkan jaminan.

Sementara itu, Siti Mariam turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan berasingan menggunakan kad permastautin sementara milik orang lain (Alia Abdullah, 24), di Jabatan Pendaftaran Negara Anak Bukit, di sini, pada 29 Oktober lalu, kira-kira jam 4 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 25 (1) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 dan minimum RM3,000.

Mahkamah menetapkan tarikh sama untuk fakta dan hukuman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2017 @ 6:49 PM