GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTPMOHD AZREN JAMALUDIN
Izlaily Nurul Ain Hussein


KERAJAAN Negeri Johor sedang mengkaji untuk mempertimbangkan penurunan had harga rumah di Johor untuk warga asing bagi menangani masalah lambakan rumah yang tidak terjual.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Md Jais Sarday berkata, pihaknya mungkin mempertimbangkan harga minimum RM1 juta yang ditetapkan dalam dasar Kerajaan Persekutuan sebelum ini mengikut beberapa kaedah.

"Untuk rumah yang tidak terjual ini, kita kena lihat balik dasar kita antaranya hartanah untuk warga asing ini yang sebelum ini harganya tidak boleh kurang daripada RM1 juta.

"Ini juga jadi masalah yang perlu dilihat. Mungkin kita boleh pertimbangkannya mengikut keluasan yang mana kalau 92.9 meter persegi boleh ditetapkan pada harga RM1 juta dan yang lebih kecil kita tengok berapa harga yang sesuai untuk pastikan rumah ini terjual. Ia masih dalam kajian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Hari Landskap Johor 2017 yang disempurnakan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Sireh [email protected] Puteri, hari ini.

Beliau berkata, isu lambakan rumah yang tidak terjual di Johor mungkin dapat ditangani sekiranya kerajaan memberi sedikit kelonggaran dari segi harga terutamanya bagi hartanah yang dijual kepada warga asing.

Selain itu, Md Jais berkata, kerajaan juga sedang mencari kaedah bersesuaian bagi membantu golongan pertengahan M40 yang sukar memiliki rumah termasuk dengan menawarkan insentif kepada pemaju.

“Kita juga sedang memberi tumpuan kepada kumpulan M40 yang terperangkap antara harga rumah mampu milik yang harga RM150,000 ke bawah yang mereka tak layak dan harga selepas tu yang melebihi RM400,000.

“Kita sedang cari jalan macam mana kita nak beri insentif atau galakan kepda pemaju untuk buat rumah dengan harga antara RM200,000 hingga RM350,000 bagi membantu golongan ini,” katanya.

MOHAMED Khaled bergambar dengan pemenang landskap tercantik. FOTO Hairul Anuar Rahim

Sementara itu, Mohamed Khaled dalam ucapannya berkata, Kerajaan Johor akan terus mengiktiraf alam sekitar dan memperjuangkan agenda kelestarian tanpa kompromi dan mahu semua pihak memainkan peranan menjayakan usaha berkenaan.

Beliau berkata, rakyat mesti mewujudkan semua hubungan dan nilai sentimental antara masyarakat dengan alam sekitar.

"Bagi pihak kerajaan negeri, saya tegaskan Johor Lestari adalah dasar yang sangat teguh diperjuangkan, tiada 'Pelan B' dalam agenda kelestarian kita. Kita tidak akan berkompromi.

"Dasar ini sahaja tidak memadai. Kita memerlukan muafakat pelbagai pihak dalam memimpin usaha ini," katanya.

Mohamed Khaled berkata, masyarakat sudah mula sedar mengapa kawasan perbandaran harus diperindahkan, dikembalikan kehijauannya dan diberikan pelbagai warna semula jadinya.

"Pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan peranannya, badan bukan kerajaan (NGO) dengan saranan dan dapatannya, universiti dengan penyelidikannya, pemodal dengan amalan perniagaannya yang hijau dan lestari, masyarakat dengan peranan siviknya dan mahasiswa dengan idealismenya.

"Semua ini mempunyai pemimpinnya tersendiri. Semua kelompok ini mempunyai peranan dan tugas masing-masing," katanya.

Katanya, sehingga 31 Oktober lalu, Johor mempunyai 2,165 Taman Awam pelbagai kategori dengan jumlah keluasan sebanyak 1,353.2 hektar di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2017 @ 7:09 PM