GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Sah Muda


NELAYAN ditahan polis di Endau, Selasa lalu kerana memukul anak lelakinya hingga cedera .

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Cyril Edward Nuing berkata, dalam kejadian 11 pagi itu, lelaki berusia 49 tahun berkenaan berang selepas mendapati mangsa berusia 13 tahun bergaduh dengan seorang kakaknya di rumah mereka di Rumah Murah Endau.

Katanya, lelaki berkenaan yang hilang sabar dikatakan memukul anak kelima daripada tujuh beradik itu dengan raket tenis dan periuk.

“Tindakan suspek menyebabkan pelajar tingkatan satu itu bengkak di dahi, muka dan badan sehingga dibawa ke hospital untuk rawatan sebagai pesakit luar," katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini.

Menurut Cyril, ibu mangsa berusia 44 tahun yang cuba menghalang suaminya daripada terus memukul anaknya turut cedera dipukul di kepala dipukul.

"Hasil laporan yang dibuat ibu mangsa, polis menahan suspek kira-kira 1 tengah hari pada hari yang sama dan dia direman sehingga 21 November ini untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara setahun dan denda RM2,000 serta mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum denda RM20,000 dan penjara tidak lebih 10 tahun jika sabit kesalahan.

Cyril dalam pada itu meminta ibu bapa supaya tidak mengikut panas baran ketika memukul anak kerana boleh mendatangkan kecederaan dan dikenakan tindakan undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2017 @ 7:15 PM