KERETA yang dinaiki empat penuntut perubatan terbalik dalam kemalangan di Jalan Persiaran Ilmu. FOTO Khairul Najib Asarullah Khan
Khairul Najib Asarulah Khan
am@hmetro.com.my


EMPAT penuntut perubatan Kolej Universiti KPJ, Nilai terselamat biarpun kereta yang dinaiki terbalik dalam kemalangan di Jalan Persiaran Ilmu, Nilai, hari ini.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Nilai, Baharin Ayob Ghazally berkata, pada kejadian 2 petang itu, empat penuntut perempuan berusia 20-an dalam perjalanan pulang ke kolej.

Katanya, keempat-empat mereka yang menaiki Perodua Kancil cuba mengelak merempuh kereta Peugeot di hadapan.

"Siasatan mendapati Peugeot dinaiki wanita melanggar motosikal yang keluar melulu dari pasar raya berhampiran. Akibatnya, penunggang motosikal iaitu lelaki Sudan berusia 23 tahun cedera di kaki serta tangan," katanya.

Beliau berkata, Perodua Kancil terbabit hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum terbalik.

"Biarpun begitu, empat penuntut ini bernasib baik kerana tidak cedera. Pada masa sama pemandu kereta Peugeot turut terselamat," katanya.

Menurut Baharin Ayob, lelaki Sudan itu dibawa ke Klinik Kesihatan Nilai untuk rawatan lanjut.

Katanya lagi, pihaknya menerima panggilan 2.15 petang sebelum mengerahkan tujuh anggota ke lokasi dan memberikan rawatan awal kepada mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2017 @ 8:21 PM