OPERASI mencari dan menyelamat diteruskan bagi mengesan mangsa yang masih hilang.
D J Dolasoh
am@hmetro.com.my


Lenggong: “Anak saya Muhammad Faliq Fadzil, 26, memang kaki pancing kerana sejak beberapa tahun ini jika dia tidak menolong saya berniaga di kedai makan di stesen kereta api Kuala Kangsar, mesti dia akan pergi memancing,” kata Nor Hashimah Hashim.

Nor Hashimah, 48, dari Taman Kuala Kangsar, berkata, selepas solat Subuh kelmarin dia melihat pelbagai peralatan memancing diletakkan di atas meja rumah sebelum anaknya bertolak ke Tasik Raban, Lenggong untuk memancing.

“Kali ini, Muhammad Faliq tidak memberitahu saya, sebelum dia pergi memancing bersama rakannya, tapi saya dah tahu sebab jika ada peralatan memancing di atas meja, dia akan pergi penuhi kegemarannya itu.

“Dia agak ganjil (perlakuan) minggu lalu, kerana membuat pesanan atas talian kain selendang dan menghadiahkan kepada dua adik perempuannya sebagai kenang-kenangan,” katanya ketika ditemui di Jeti Tasik Raban di sini, semalam.

Nor Hashimah berkata, Muhammad Faliq anak sulung daripada lapan beradik itu pandai berenang sejak dulu mungkin itu menyebabkannya tidak takut untuk berada dalam sungai terutama bagi aktiviti memancing yang dilakukan sehingga pergi ke seluruh sungai di Perak termasuk laut.

“Saya diberitahu selepas dia menyewa bot di Tropical Outdoor Pursuit Center di Tasik Raban semalam (Sabtu) kira-kira jam 8 pagi, dia mengemudi bot itu ke Sungai Perak bersama rakannya Amirul Asyraff yang berada di bahagian depan bot.

“Kami berharap, dia akan ditemui juga jika pun petang ini. Bagaimanapun, saya dan keluarga terima takdir ini kerana ia ketentuan Allah,” katanya yang menyifatkan anak sulungnya itu banyak membantu dia dan ayahnya, Fadzil Mohd Nor, 55, berniaga di kedai makan.

Sementara itu, rakan Muhammad Faliq iaitu Amirul Asyraff Abdullah, 24, ditemui pasukan pencari jam 10.10 pagi semalam kira-kira lima meter dari lokasi bot mangsa yang ditemui karam.

Ketika dijumpai, kepala mangsa dikatakan berdarah yang berkemungkinan akibat terkena tunggul kayu dalam air selepas mangsa terpelanting jatuh dengan kuat sebaik bot terkena tunggul di situ.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong Mohd Annuar Mohd Saff berkata, sehingga lewat petang semalam, mangsa kedua belum ditemui meskipun pelbagai cara dilakukan termasuk mencari di kawasan sungai sepanjang 20 kilometer dari lokasi tempat kejadian.

“Pelbagai teknik dilakukan termasuk membuat pusaran air, menyelam dan menggunakan anjing pengesan K9 termasuk mencari di kawasan hutan di sekitar sungai, tetapi masih belum berjaya ditemui.

Seorang Nelayan dari Kampung Kelantan di sini, Ahmad Syahir Saarani, 26, berkata, memang banyak tunggul kayu terutama ketika air sedikit surut kerana menyebabkan tunggul akan timbul di permukaan air.

“Bot yang dinaiki dua lelaki ini terkopak di bahagian bawah sepanjang setengah meter sebelum rakan-rakan saya menemui ia tenggelam di bahagian belakang kerana berat enjin pada kedalaman air lebih lima meter di situ.

“Mungkin mereka terpelanting jatuh ke dalam sungai sebaik bot terkena tunggul kayu dan lemas kerana tidak memakai jaket keselamatan,” katanya yang sering memancing di tempat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 12:06 PM