GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Hilmie Hussin


PENGURUS Projek di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Melaka, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dipercayai menyeleweng Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) membabitkan nilai kira-kira RM2.5 juta, sejak awal tahun lalu.

Lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di Pejabat Lembaga Pertubuhan Peladang negeri, 3 petang hari ini.

Menurut sumber, suspek membuat 23 tuntutan palsu membabitkan nilai RM2.54 juta.

Tuntutan palsu itu berkaitan 56,700 kampit baja sepanjang tahun lalu yang tidak pernah diluluskan Lembaga Mesyuarat Penapis PPK.

Difahamkan, baja-baja terbabit sepatutnya dituntut PPK berkaitan, sebelum diedarkan kepada petani di sektor penanaman padi yang menyertai SBPKP.

Namun, suspek dipercayai menjual semula baja-baja itu bagi mendapatkan keuntungan peribadi.

Sumber berkata, daripada jumlah tuntutan tersebut, kerajaan sudah membayar RM1.33 juta, manakala selebihnya belum dijelaskan namun baja-baja terbabit sudah dibekal serta diterima suspek.

Dalam pada itu, Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani ketika dihubungi, mengesahkan mengenai penangkapan tersebut dan menjelaskan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Difahamkan, suspek dijangka direman di Mahkamah Melaka, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 9:23 PM