Mohd Hilmie Hussin


PENGURUS Projek Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Melaka direman enam hari bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan tuntutan palsu membabitkan nilai RM2.54 juta.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Hurman Hussain di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, hari ini.

Terdahulu, tertuduh berusia 38 tahun tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh pada 11 pagi dengan berpakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suspek kemudian dilihat keluar dari kamar mahkamah kira-kira setengah jam kemudian sambil diiringi pegawai SPRM.

Semalam, suspek yang bertugas di PPK Merlimau ditahan SPRM di pejabatnya pada 3 petang dipercayai menyeleweng Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) membabitkan nilai RM2.54 juta sejak awal tahun lalu.

Difahamkan, suspek dikatakan membuat 23 tuntutan palsu berkaitan 56,700 kampit baja sejak awal 2016 yang tidak pernah diluluskan Lembaga Mesyuarat Penapis PPK.

Baja terbabit sepatutnya dituntut PPK Merlimau sebelum diedarkan kepada petani penanaman padi yang menyertai SBPKP.

Suspek dipercayai menjual semula baja-baja itu bagi mendapatkan keuntungan peribadi.

Sumber berkata, daripada jumlah tuntutan tersebut, kerajaan sudah membayar RM1.33 juta manakala selebihnya belum dijelaskan namun baja-baja terbabit sudah dibekal serta diterima suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 12:29 PM
Suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Ayer Keroh untuk mendapat perintah reman. FOTO Rasul Azli Samad