Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bergambar bersama delegasi Jelajah Ilmu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) 2017 selepas menghadiri perbincangan ke arah merealisasikan jalinan kerjasama akademik dan penyelidikan dengan Nazarbayev University semalam.
BERNAMA

UNIMAP DAN NAZARBAYEV UNIVERSITY BAKAL JALIN KERJASAMA

ASTANA, 21 Nov –

UNIVERSITI Malaysia Perlis (UniMAP) mengintai ruang jalinan kerjasama dengan Nazarbayev University (NU) Kazakhtan, terutama dalam bidang akademik dan penyelidikan.

Kepimpinan tertinggi kedua-kedua institusi pengajian tinggi itu mengadakan perbincangan ke arah kerjasama itu sempena program Jelajah Ilmu UniMAP ke universiti kejuruteraan yang tersohor di Kazakhstan itu, semalam.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengetuai delegasi UniMAP pada perbincangan itu manakala NU oleh Presidennya, Shigeo Katsu.

Turut menyertai baginda yang juga Canselor UniMAP ialah Timbalan Naib Canselor Prof Dr Mohd Fo’ad Sakdan dan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Prof Madya Razli Ahmad.

Lawatan ke NU yang turut disertai Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan, Syed Bakri Syed Abdul Rahman adalah kegiatan pertama sempena program jelajah ilmu selama dua hari ke Astana yang juga ibu kota Kazakhstan yang moden dan tersusun.

Ketika pimpinan tertinggi berbincang mengenai jaringan kerjasama antara kedua-dua institusi pengajian tinggi, kumpulan pelajar UniMAP terdiri daripada pimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2016/2017 universiti itu turut mengadakan perbincangan mengenai peluang kerjasama dengan pelajar NU dan kakitangan universiti itu pada majlis berasingan.

Sementara itu Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah bahawa UniMAP akan terus memberi fokus terhadap hubungan antarabangsa dan jaringan kerjasama dengan universiti-universiti terkemuka.

Titah baginda, lawatan itu akan memberi peluang kepada warga UniMAP meluaskan pengalaman mereka dan menghargai budaya institusi lain serta mewujudkan jaringan komunikasi yang berkesan antara pelajar dan tenaga pengajar.

Baginda juga bertitah para penyelidik UniMAP dianugerahkan geran-geran penyelidikan antarabangsa seperti Horizon 2020, Erasmus dan Newton - Ungku Omar berjumlah hampir RM2.8 juta, geran industri sebanyak lebih RM8.5 juta manakala geran di peringkat nasional mencecah RM102 juta yang membuktikan keupayaan pelbagai pihak universiti itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 1:18 PM